Friday, November 13, 2009

KUNCI .. YANG BERMACAM KUNCI ...

Salaam saudara ku,

Hanya mampu ku luahkan disini ...
Wadah persoalan yang menggigit pemikiran ini ...
Memang sungguhlah bagai dikata ...
Ilmu sangat membezakan antara kita ...

Hamba bersoal kerana kemusykilan ...
Perlukan pemahaman maka lantaran ...
Persoalan yang dilontarkan disambut dengan kemarahan ...
Terus hamba merasa terkilan ...

Kunci iman adalah amalan ...
Kunci amalan adalah pengetahuan ...
Kunci pengetahuan kerana rajin mempersoalkan ...
Bagi memastikan kebenaran ...

Tapi ada satu kunci ..
Yang lebih baik buat diri ini ..
Biarlah mulut ini dikunci ..
Bagi mengelak kekeliruan menjalar lagi ..
Dari merasa terpinggir, tersisih sepi ..
Semoga hatiku tidak berkecamuk rugi ..
Atas dugaan yang menghampiri ..
Ku ambil ia sebagai peringatan yang halus lagi seni ..
Supaya lebih berusaha memperbaiki diri ..
Takkan dapat ku berdiri sama tinggi ..
Sekiranya iman dan amal masih hanya begitu begini ...

Tiada alasan lagi ..
Terus ku melangkah .. dengan rendah hati ...

Monday, November 2, 2009

Salaam buat mu ... saudara ku,

Maka telah hamba sohorkan nukilan in .. bersamaan 13 Zulqaeda 1430

Maka diseru pada mu ...
Hati-hati hulubalang Melayu nusantara ini

Daulat dijunjung
Adat dikandung
Dipikul tanggungjawab nan nurani
Di tanah, tumpahnya darah ini

Sulamkan niat dengan amalan
Sajikan matlamat dengan ketegasan
Lembutkan kata penuh kejujuran
Rendahkan hati dengan keinsafan

Akan terleka dek warna pelangi
Mudah terasyik haruman mewangi
Ingin melintas jalan tiada duri
Mahukan nikmat untuk setiap bakti

Bersama kita ingati ...

Perjalanan ini singkat lagi sementara
Tiada kekal setiap yang fana
Bukalah langkah demi mencari redha
Juruskan bekalan untuk kembali ke pangkuan-NYA

Hulubalang ku semua .. bersiap siagalah senantiasa ...



Dan wadah megapandita

*Wlkmslm sis,
demi dtik ktika ini, masa kian brlalu,
khidupn penuh liku, trrasa kheningan pilu,
mngenang sjarah silam daku, mmenuhi restu,
barang pnjuritn tahu, kptangn ilmuku,
do'akn daku dn kamu, kasihsayang kita sklian terus brpadu ...
Salam 313 Tuan Syd2 ttap dkalbu daku dan kamu ... Tq99


Tertiris hati ini .. akan hiba pilu ..
Bagai terasa .. kepayahan pengorbanan yang dilalui ..
Ingin merasa .. keperitan yang saudara-saudara ku harungi..

Namun ..

Hamba hanya mampu mengatakan ..
Hamba akan cuba memahami ..
Atau mungkin hanya sekadar di sini sahaja ..
Kerana .. tiada yang sebenarnya tahu ...
Adakah 25 atau 13 atau 7 atau 3 ..
Yang akhirnya bakal teguh berdiri ...
Melestari sayembara perjuangan ...
Mengibar panji-panji keramat ...
Meletakkan Yang Satu tumpu matlamat ...
Tiada yang lebih baik dari kembali kepada NYA

Usah peduli warna-warni .. hiruk-pikuk yang melalaikan ...
Tumpukan ... Genggam erat matlamat mu ...
Tumpukan ... Genggam erat matlamat mu ...
Tumpukan ... Genggam erat matlamat mu ...

Tidak kan ku tinggalkan nama ....
Aku rela dilupa ..
Tapi biarlah tergamit disanubari ...
Pada suatu hari ... bagi generasi menanti ...
Ada seorang sri kandi ... tiada bernama ..
Namun ... tangkasnya bak helang ..
Garangnya bak nagasari ..
Kasih pada saudaranya tidak berbelah bagi ...
Tapi hamba tahu ..
Kekurangan diri ..


Hanya pada mu .. hamba berserah diri ....

Tuesday, October 6, 2009

RAMADHAN YANG BERLALU .. SYAWAL YANG BERLABUH ..

Salam dari Puteri

Ramadhan kali ini ..

Membuka sebuah bibit nostalgia ..
Bersama adik ku yang sekarang nun jauh di mata ..
Hamba panjatkan doa buat mu di utara ..
Agar di selubungi dengan hilai tawa dan gurau senda ..
Bersama keluarga mu yang tercinta ...

Ramadhan kali ini ...

Amat mengingati ..
Dalam usia belum kering hingus di pipi ..
Nenda menitipkan kisah fantasi ...
Moga mudah lena di layari ..
Tanpa bersalut mimpi ngeri

Ramadhan kali ini ...

Tidak pernah ku lupa ..
Kisah lain yang hanya mencambah parut dan luka ..
Masih terngiang di liang kulit yan semakin mengering ..
Umpama daging disentap dari tulangnya ..
Sedangkan empunya badan masih bernyawa ..
Hanya ini yang dapat digambarkan .. diluahkan ..
Namun .. itulah kenyataan yang tidak dapat dihindari ..
Dan tidak ku ingin menipu diri ..

Yang utama ..

Dapat melihat bahagia di mata mereka yang ku sayangi ...
Walaupun mereka tiada upaya untuk mengerti diri ini ..
Tembok tinggi ini ..
Bukan untuk halangan ..
Malah pelindung ..
Melindungi mereka dari ku yang masih dalam durjana

Kerana ...

Aku tidak layak .. atas setiap kebaikan ini ..
Namun aku sedar dan bersyukur
Semoga .. kebaikan ini menandakan ..
Aku berada dalam pemerhatian
Akan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang ..
Semoga mohon ampun ku di terima ..

Hanya DIA yang mengetahui segala jawapannya ..
Dan aku pasrah ...

Wednesday, July 15, 2009

PERISTIWA 24 ZULHIJJAH ...

PADA TARIKH INI SAYIDINA ALI BIN ABI TALIB KWJH. MENJADI KHALIFAH PADA TARIKH INI DI TAHUN 35 HIJRAH

PADA TARIKH INI DI TAHUN 10 HIJRAH
Dipetik dari http://ummuabiha.blogspot.com/2008/01/mengenang-peristiwa-mubahalah24.html

ANTARA FATIMAH AZ-ZAHRA DAN MUBAHALAH

Para ulama terkemuka , baik dari kalangan umum (Ahlus Sunnah) mahu pun khusus (Ahlul Bait) telah banyak menulis tentang keutamaan-keutamaan Fatimah az-Zahra. Di antara ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan berkaitan dengan Fatimah adalah ayat Mubahalah (Ali-'Imran:61). Para ulama tafsir sepakat bahawa beliaulah yang dimaksudkan dengan perkataan " nisaa-anaa"(wanita-wanita kami) dalam ayat tersebut. Mereka menyebutkan ini secara " ijma' "(sepakat) bahawa kedatangan az-Zahra sendiri untuk melakukan "Mubahalah" adalah seperti kehadiran sekumpulan wanita mukmin.Seandainya hanya ayat ini sahaja yang berhubungan dengan keutamaan Fatimah, cukuplah sudah untuk menunjukkan agungnya kedudukan beliau.

Mubahalah Dan Penegakan Kebenaran :

Mubahalah dilakukan ketika terjadi perbezaan dan pertentangan di antara dua orang atau lebih; masing-masing menolak dalil dan hujjah yang dikemukakan oleh pihak lain. Agar keduanya memperoleh kejelasan dalam pertentangan itu, maka kedua-dua pihak berdoa (bermubahalah) kepada Allah agar yang batil (salah) di antara keduanya menarik diri sehingga kebenaran menjadi jelas.

Waktu itu, Rasulullah (saw) telah menyebutkan di hadapan kaum Nasrani Najran bahawa Nabi Isa (as) adalah makhluk dan hamba Allah; sesungguhnya Nabi Isa (as)telah menyampaikan berita gembira tentang kenabian baginda (saw). Lalu baginda (saw) meminta mereka agar menghadapkan kepadanya sekelompok kaum Nasrani Najran ke Madinah supaya baginda dapat berdiskusi bersama mereka. Kemudian mereka datang dan menetap di Madinah selama beberapa hari. Meskipun demikian, mereka tidak sepakat atas ucapan baginda (saw). Kata mereka, "Bagaimana mungkin Isa itu seperti manusia lain sedangkan dia tidak mempunyai ayah? Oleh kerana itu, dia adalah anak Allah bahkan menyatu di dalamNya". Nabi (saw) menjawab dakwaan palsu mereka dengan wahyu Ilahi :

Firman Allah :"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya ; "Jadilah engkau!", maka jadilah ia (seorang manusia)".(Surah Ali 'Imran : ayat 59)

Penciptaan Nabi Isa (as) tanpa ayah tidaklah lebih sukar untuk difahami berbanding Nabi Adam (as) yang melalui proses penciptaan tanpa ayah dan ibu. Bahkan penciptaan Nabi Adam (as) lebih membangkitkan rasa takjub. Andaikata keadaan itu dilihat sebagai dalil untuk meletakkan Nabi Isa (as) pada posisi "Ilahiyyah" (Ketuhanan), maka adalah lebih utama untuk memberikan posisi "Ilahiyyah" tersebut kepada Nabi Adam (as). Ketika kaum Nasrani Najran tidak meyakini kewujudan posisi tersebut pada Nabi Adam (as), bapa ummat manusia, maka sewajarnyalah mereka tidak mengajukan dakwaan seumpamaan itu pada Nabi Isa (as).

Kaum Nasrani Najran tidak menerima dalil Ilahi tersebut bahkan semakin keras menunjukkan penentangan mereka ke atas Nabi (saw). Baginda (saw) kemudian mengajak mereka berdasarkan perintah Allah (swt) untuk melakukan "Mubahalah".

Allah berfirman :"Maka sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (kisah Nabi Isa) sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru (memanggil) anak-anak kami serta anak-anak kamu dan wanita-wanita kami serta wanita-wanita kamu dan diri-diri kami serta diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah (memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh) dan kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta".(Surah Ali 'Imran : ayat 61)

Dalam peristiwa tersebut, Nabi (saw) turut membawa bersamanya Imam Ali (as), Sayyidah az-Zahra (as), Imam Hasan (as) dan Imam Husain (as). Terdapat beberapa hikmah besar dan penting melalui kehadiran mereka dalam peristiwa "Mubahalah" tersebut :

1-Penetapan dan pernyataan pasti tentang kebenaran dakwah dan kenabian baginda (saw).
Baginda (saw) sanggup menyertakan dua orang belahan jiwanya iaitu Imam Hasan (as) dan Imam Husain (as), satu-satunya puteri kesayangan baginda iaitu Fatimah az-Zahra (as) dan Imam Ali (as). Baginda (saw) datang dengan komposisi seperti itu dalam melakukan "Mubahalah" supaya Allah mencabut benih kedustaan dan kebatilan sehingga ke akar umbinya. Ertinya, baginda (saw) ingin mengisytiharkan, "Sesungguhnya aku berada di atas keyakinan yang mutlak bahawa kebenaran sentiasa bersamaku sementara yang lain sentiasa berada di atas kebatilan. Keyakinan ini ku miliki hingga ke tahap aku berani membawa bersamaku orang-orang yang amat ku cintai untuk melakukan "Mubahalah".

2-Pengisytiharan tentang tingginya kedudukan dan maqam orang-orang yang bersama dengan baginda (saw).
Mereka adalah orang-orang yang memiliki kedudukan sebagai anak-anak, isteri-isteri dan diri baginda sendiri. Sesungguhnya perkataan "abnaa-anaa" (anak-anak kami) telah menunjukkan dengan jelas bahawa sesungguhnya al-Hasan dan al-Husain adalah merupakan putera Nabi (saw). Perkataan "anfusanaa" (diri-diri kami) pula menunjukkan bahawa Ali adalah diri Rasulullah (saw) itu sendiri sementara perkataan "nisaa-ana" (wanita-wanita kami) menunjukkan kepada ummat Islam bahawa sesungguhnya az-Zahra adalah satu-satunya orang yang memiliki keutamaan di atas seluruh para wanita di sekalian alam.

3-Supaya manusia mengetahui bahawa penyertaan dan kebersamaan mereka dengan Rasulullah (saw) merupakan ajakan tepat daripada baginda (saw) iaitu penegakan kebenaran (al-haq) dan pembatalan atas kebatilan (al-batil).

Cara Mereka Bermubahalah :

Sebelum kaum Nasrani Najran mengusulkan untuk melakukan "Mubahalah", Rasulullah (saw) datang di waktu pagi pada 24 Zulhijjah, 10 Hijriyyah. Baginda (saw) mengendong al-Husain di dadanya dan menuntun al-Hasan dengan tangannya sementara Fatimah dan Ali berjalan di belakangnya. Rasulullah (saw) berkata kepada mereka, "Ketika kalian mendengar aku melaknat, maka katakanlah 'Amin' ".

Ketika melihat Nabi (saw) dan orang-orang yang bersamanya berada dalam keadaan seperti itu, pemimpin Najran berkata, "Ketahuilah, wahai kaum Nasrani, sesungguhnya wajah-wajah yang ku lihat, seandainya mereka bersumpah atas nama Allah agar melenyapkan gunung, nescaya Allah akan melenyapkannya. Oleh kerana itu, berhati-hatilah kalian dengan 'Mubahalah' melawan mereka. Sesungguhnya kalian pasti akan binasa dan takkan ada lagi kaum Nasrani yang akan tersisa setelah itu di atas muka bumi ini ".

Lantas mereka berkata kepada Nabi (saw), "Kami rasa, kami tidak perlu bermubahalah dengan anda. Anda tetap dengan agama anda dan kami tetap dengan agama kami ".Nabi (saw) bersabda, "Sekarang kalian telah menarik diri dari bermubahalah, maka menyerahlah kalian (masuklah Islam) untuk bersama-sama kaum Muslimin dalam keadaan bahagia dan susah ". Namun mereka semua tetap menolak.Baginda (saw) bertanya, "Apakah kalian menghendaki perang? ". Mereka menjawab, "Kami tidak memiliki kekuatan untuk berperang melawan kaum Muslimin. Kami ingin berdamai dengan anda agar anda tidak memerangi kami dan agar anda tidak menakut-nakutkan kami serta agar kami tidak keluar dari agama kami. Kami akan memberikan ribuan helai pakaian baru yang harga setiap helai pakaian tersebut ialah 40,000 dirham ". Lalu baginda (saw) setuju berdamai dengan mereka di atas ketentuan tersebut.

Faktor Penting Dalam Ayat Mubahalah :

Sesungguhnya ummat Islam wajib berusaha untuk mendalami peristiwa 'Mubahalah' supaya mereka dapat mengenal dan mengetahui kedudukan, maqam serta keutamaan Ahlul Bait (as), khususnya yang berkaitan dengan perintah Ilahi kepada Nabi (saw) agar baginda datang bersama dengan mereka (anak-anak, wanita-wanita dan diri baginda) untuk bermubahalah.

Telah disepakati oleh seluruh Ulama Tafsir dan Ahli Hadis bahawa Rasulullah (saw) telah datang bersama Imam Ali (as) supaya jelas bahawa sesungguhnya tidak seorang pun selain Imam Ali (as) yang memiliki kedudukan sebagai diri Nabi (saw). Di antara Bani Hasyim dan para sahabat, tidak ada yang sepadan dengan Imam Ali (as). Rasulullah (saw) juga datang bersama Imam Hasan (as) dan Imam Husain (as), agar semua orang mengetahui bahawa kedua-duanya adalah putera Nabi (saw) dan tidak ada yang serupa dengan keduanya. Dan di antara para wanita pula, baginda hanya mengajak puterinya Fatimah az-Zahra (as). Meskipun ada isteri-isteri baginda dan para wanita keturunan Bani Hasyim lainnya, bagaimanapun baginda tidak datang dengan salah seorang dari kalangan mereka. Tambahan pula, dari segi nasab keturunan, keberadaan az-Zahra adalah sebagai puteri baginda. Di sini terdapat hubungan spiritual ('alaqah ruhiyyah) dan kesatuan maknawi (ittihad ma'nawi) antara keduanya. Sungguh, kedudukan yang dimiliki oleh az-Zahra di sisi Allah tidak pernah dicapai oleh mana-mana wanita lain. Kalau tidak sedemikian, tentu Rasulullah (saw) tidak akan datang bersama az-Zahra (as).

Dalam pada itu, perkataan (anak-anak, wanita-wanita dan diri-diri) dalam ayat ini disebutkan dalam bentuk 'plural' (jama'). Jika Rasullulah (saw) tidak membawa bersamanya kecuali Ali, Fatimah, Hasan dan Husain, ianya adalah supaya difahami bahawa mereka berempat adalah 'al-khashah' (yang khusus dan teristimewa). Juga memberikan kesimpulan bagi kaum Mukminin dan Mukminah seluruhnya bahawa kehadiran mereka berempat sama dengan kehadiran mereka keseluruhannya dan ucapan 'Amin' mereka berempat bagi Rasulullah (saw) adalah memadai kerana dengannya cukup bagi yang lain.Benar, cukuplah untuk mengetahui keagungan serta kemuliaan kedudukan mereka berdasarkan kenyataan bahawa kaum Nasrani yang telah bersiap-sedia sejak hampir 60 hari dengan segala kekuatan yang dimiliki oleh mereka; keberanian, kesatriaan dan lain-lain lagi telah menyaksikan keagungan spiritual (ruhiyyah) dan karisma Ilahi serta cahaya maknawiyah yang dimiliki oleh orang-orang agung tersebut. Kaum Nasrani itu menjadi ketakutan dan mereka berkata di antara sesamanya bahawa sekiranya orang-orang agung itu bersumpah atas nama Allah untuk menghancurleburkan sebuah gunung, nescaya Allah akan melakukannya. Akhirnya mereka (kaum Nasrani) menolak untuk melakukan 'Mubahalah' dan akhirnya tunduk kepada Nabi (saw).

Komentar az-Zamakhsyari dan ar-Razi :Az-Zamakhsyari salah seorang ulama Tafsir besar di sisi Ahlus Sunnah ketika mentafsirkan ayat al-Mubahalah mengatakan , "Peristiwa Mubahalah merupakan dalil yang kuat dan tidak ada yang lebih kuat darinya atas keutamaan Ahlul Bait (as)".Sementara Fakhru ar-Razi mengatakan, "Sesungguhnya peristiwa Mubahalah merupakan dalil akan keutamaaan Ahlul Bait (as) di atas seluruh sahabat Nabi (saw).

Tuesday, July 14, 2009

WARISAN TERSOHOR 1




Raja Ali Al-Haj bin Raja Haji Ahmad
bin Raja Haji Ash-Syahidu fi Sabillah
bin Upu Daeng Celak

[1808-1847]


GURINDAM DUA~BELAS

Ini gurindam pasal yang pertama :
Barang siapa tiada memegang agama, sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat, maka ia itulah orang yang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah, suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri, maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia, tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat, tahulah Ia dunia mudarat.

Ini gurindam pasal yang kedua :
Barang siapa mengenal yang tersebut, tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji

Ini gurindam pasal yang ketiga :
Apabila terpelihara mata, sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping, khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah, niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan, daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fi'il yang tiada senunuh.
Anggota tengah hendaklah ingat, di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki, daripada berjaian yang membawa rugi.

Ini gurindam pasal yang keempat :
Hal kerajaan di dalam tubuh, jikalau zalim segala anggota pun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah, datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir, di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela, nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong, boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka, aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah, itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar, janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor, mulutnya itu umpama ketur-ketur.
Di mana tahu salah diri, jika tidak orang lain yang berperi.

Ini gurindam pasal yang kelima :
Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa.
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Ini gurindam pasal yang keenam :
Cahari olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru, yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri, yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan, pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi, yang ada baik sedikit budi

Ini gurindam pasal yang ketujuh :
Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka, itulah landa hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat, itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih, t'ika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang, itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur, sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar, menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila mendengar akan aduan, membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut, lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar, lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar, tidak boleh orang berbuat onar.

Ini gurindam pasal yang kedelapan :
Barang siapa khianat akan dirinya, apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya, orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya, daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar, biar dan pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa, setengah daripada syirik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan, kebaikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka, keaiban diri hendaklah sangka

Ini gurindam pasal yang kesembilan :
Tahu pekerjaan tak baik, tetapi dikerjakan,bukannya manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua, itulah iblis punya penggawa.
Kepada segala hamba-hamba raja, di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda, di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan, di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,s yaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,d engan syaitan jadi berseteru.

Ini gurindam pasal yang kesepuluh :
Dengan bapa jangan durhaka, supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat, supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai, supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa, supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil, supaya tangannya jadi kafill

Ini gurindam pasal yang kesebelas :
Hendaklah berjasa, kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala, buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,buanglah khianat.
Hendak marah, dahulukan hajat.
Hendak dimulai, jangan melalui.
Hendak ramai,murahkan perangai.

Ini gurindam pasal yang kedua belas :
Raja muafakat dengan menteri, seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja, tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh anayat.
Kasihan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta.

BINTANG ITU ...

Venus adalah planet bercahaya yang sangat terang. Karena itu dijuluki Bintang Kejora.

Venus juga disebut bintang fajar dan bintang senja, kerana planet itu kelihatan di sebelah timur ketika pagi dan di sebelah barat ketika senja.

Venus juga disebut planet putih karena cahayanya yang putih. Besarnya hampir sama dengan bumi dengan diameter 12.103km.

Putaran Venus berlawanan dengan planet lain sehingga terbit di sebelah barat dan tenggelam di sebelah timur.



sumber : www.crayonpedia.org/mw/Bumi_dan_Alam_Semesta

Monday, July 13, 2009

REJAB INI

Purnama ini ku sambut ria, kerana sekian lama telah hamba alpa. Sungguh bijak laksana mereka dahulu kala. Membaitkan seloka penanda peringatan, yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Rejab ini, sedaya upaya hamba membersihkan diri. Lantas teringat, beratus hari dahulu, tatkala dalam perjalanan ke Tanah Apung Nan Gah, hamba diberi kesempatan menyaksikan, larikan Ke-Indahan-Nya, Ke-Kuasaan-Nya, yang sehingga ini walau masih menjadi tanda tanya peribadi .. namun di terima dengan hati lapang terbuka berkait peringatan .. betapa Maha Besar Ke-Agongan-Nya.

Tidak pernah terbayangkan .. dapat menyaksikan .. keindahan keajaiban .. nun tinggi .. terpasak .. terpasung .. dan Sang Lang berlabuh di awangan, disisi ..

Sehingga hari ini .. tercatat teguh di laman ingatan .. tiada akan terpadam .. kerana penyaksian itulah yang mengukuhkan lagi tekad ini .. nekad ini .. melangkah ke hadapan .. tiada berundur lagi .. sehingga ke titisan darah terakhir ..

Tuesday, June 16, 2009

BATU ITU .. DAN AKU ...

Sekalian puji hanyalah untuk Mu ..

Dan bertanyalah akan Sang Pendita,
Ke mana pulangnya jasad yang lemah,
Sang Dewa berkata, menjadi batulah jua,
Sang Kitab bersahut, sungguh dia benarlah.

Hamba termangu,
Terbayang di mata tapak-tapak itu,
Terlayar di minda gunung-gunung yang tidak kaku,
Sungguh benarlah, hujah-hujah saudara ku.

Sepanjang perjalanan yang berliku,
Yang membawa ke titik karomah yang tidak satu,
Tinggalan zahir lagi mistika yang tidak beku
Dan dari situlah .. bermulanya aku ..

Aku ...
Menggenggam bara api biar sampai menjadi arang ...

Aku ...
Pantang berundur sehingga nyawa melayang dari badan ...

Aku ...
Menyahut semboyan perang panglima terbilang ....

Aku ...
Waris fisabilillah panji hitam ufuk nusantara ...

ATAS NAMA YANG MAHA ESA

Thursday, June 11, 2009

SENDU KU

Hamba cuba,
Untuk tidak berkeluh kesah

Hamba cuba,
Untuk tidak mengadu domba

Namun ….

Kekurangan diri sangat terasa
Hamba dambakan untuk menjadi insan sempurna
Sempurna dari segi hati dan minda
Malangnya hamba masih alpa

Kesilapan yang berulang-ulang, sampai bila?
Sedangkan hari semakin senja

Hamba ingin kembali dengan wajah yang sebaik-baiknya
Adakah akan diterima?

Tuesday, June 2, 2009

5 JAMADILAKHIR 1430 - RISIK ADIK BONGSU

Salaam Buat Adik Bongsu Ku,

Berlalu purnama demi purnama,
Perjalanan hidup mu penuh pancaroba,
Hati mu menagih kasih seperti kunjung tiada
Namun kau tiada berputus asa

Merisik sudah, bertunang sudah
Ikatan murni termeterai jua
Detik 5 Jamadilakhir 1430 menjadi saksi
Akad mu, menjadi suami kepada sang isteri

Binalah keluarga mu dengan bahagia
Bersulamkan gurau senda
Berserikan tiang iman
Berseloka zikir dan doa

Doa ku untuk mu
Dirahmati-NYA dengan keluarga yang soleh
Bersama zuriat penyambung darah pahlawan mu
Semoga kau bahagia ke anak cucu

Friday, May 22, 2009

Mei Mei


Mei Mei ...
Ni de Ma Ma .. Ni de Ma Ma,

Adinda ku ...
Kau adalah seorang ibu ..
Kau adalah seorang ibu ...

Berbanggalah ..
kedudukan mu sebagai ibu adalah sangat terhormat
Percayalah ..
kasih sayang anak-anak mu ke akhir hayat

Mei Mei,
Buanglah kegusaran mu jauh-jauh ... lontarkan ia dik

Benar ... cukup berat dugaan mu,
Siapa di antara isteri dan ibu,
Yang dapat menyelami apa yang kau lalui,
Apatah lagi hamba ini.

Namun Mei Mei,
Jangan kau biarkan perkataan 'layak' itu menjadi benteng pemisah ...

Antara diri mu dan DIA ...
Kerana DIA Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ...
Sekiranya kau ragui keikhlasan manusiawi yang berhati walang ...
Lemas dengan mereka yang ingin dibalas jasanya ...
Sedangkan mereka sebenarnya tidak memiliki apa-apa ...
Kembalikan diri mu kepada NYA Mei Mei
Kerana kasih sayang NYA sangat lah pasti ...

Biarlah Mei Mei,
Bertatih lah dahulu ...

Kerana hamba pasti dan mendoakan ...
Sebaik sahaja kau 'terjaga' ...
Kau akan berlari bak puting beliung ...
Kau akan berdiri gah bagai gunung ...
Kerana darah panglima mengalir dalam diri mu ...
Dalam diri anak-anak mu ...

Ingin ku menggelar mu Panglima Suri Bonda ...
Kerana kaulah satu-satunya Bonda Yang Bersumpah Panglima ...
Dan juga kau Bonda Bakal-bakal Panglima ...
Dan langkah pertama mu adalah pilihan utama ...
Dan pilihlah DIA sebagai matlamat mu yang tiada taranya ...

Bismillahirrahmanirrahim ...

Thursday, May 21, 2009

Kegembiraan Mu ...

Salam Sejahtera Buat Mu Sang Saudara Ku,

Sudah lebih sedekad hamba mengenali mu. Walaupun lebih banyak waktu itu hanya dapat hamba perhatikan mu dari jauh .. namun hamba dapat menyelami hati mu saudara ku.

Kau adalah saudara yang penyayang, sahabat yang setia, anak murid yang patuh, insan yang cekal lagi tabah. Kau sentiasa meletakkan orang lain terdahulu dari diri mu. Onak dan duri kehidupan telah kau lalui dengan penuh redha.

Kau diamanahkan menjaga Kitab adab, adat dan istiadat. Sesungguhnya, amatlah molek lagi bersesuaian dengan jiwa mu itu.

Sudah sampai masanya, wahai saudara ku Sang. Genggamlah kebahagian yang kau dambakan itu. Jangan dilepaskan kali ini, jarak yang tersurat hanyalah bagai duri-duri sembilu, yang perlu ada, namun tidak memudaratkan.

Filsafat panglima, genggam bara api biar sampai jadi arang .. begitu jua kehidupan, filsafah-nya tetap sama .

Akan ku sentiasa mendoakan kebahagian dan kegembiraan mu, bersama bakal suri hati mu, tiang seri kebahagian hidup mu.

Terima kasih, kerana kesabaran mu berkongsi ilmu serta corat-coret kehidupan mu dengan kanda mu ini ..

Monday, May 18, 2009

Only You ..

ONLY ONE NAME IN MY MIND ..
ONLY ONE NAME IN MY HEART ..
JUST YOU

Sunday, May 17, 2009

Kunci Mutiara 2

Salaam untuk mu,
Mohon kearifan dari mu. Ingin ku merantau membuat jasa. Di tanah yang sentiasa bermandi darah dan airmata.

Jawabmu
Dia Yang Maha Besar 99. Langsungkan niatmu. Terima kasih99.

Sambutku:
Smoga Dia Makbulkan Permintaanku dan Memeliharaku serta Melindungiku

Thursday, May 14, 2009

Malam Ini Untuk Mu ...

Ummi,

Selamat Hari Ibu.

Nilai kasih sayang serta pengorbanan mu terlalu besar ...
Walaupun disusun bongkah emas sebesar setinggi gunung merentas garislintang bumi ..
Tidak sedikit pun sama nilainya ... dan ... hamba sedar ...
Tiada akan dapat hamba membalasnya .. walau pun sebesar titisan darah ...
Hanya dapat hamba lakukan .. menadah tangan memanjatkan doa ...
Semoga DIA memelihara dan melindungi Ummi selalu
Dan memilih Ummi untuk bersama NYA di syurga Firdaus yang indah
Bersama Abuya .. suami mu yang setia, sabar dan amat menyayangi mu ...


Bonda,

Selamat Hari Ibu,

Walaupun kita tidak mungkin dapat bertemu di dunia ini ...
Hamba sentiasa memohon serta memanjatkan doa pada ILLAAHI ...
Semoga Bonda bahagia disamping mereka yang menyayangi mu ...
Hamba hanya mampu meluahkan rasa rindu yang terpendam di kalbu ...
Di angin lalu .. di air jernih yang mengalir dari tanah tinggi ...
Tiada amarah atau kekeliruan lagi Bonda ...
Semoga Bonda tenang bahagia selalu ...
Dan hamba redha dengan perpisahan sementara ini ...


Ummi dan Bonda ...
Semoga kita dapat diketemukan .. dan bisa hamba memeluk dan mencium kalian ...
Dalam kehidupan yang abadi ...


I accept this destiny that was written in time ...
But there is still a long journey to go ...
A chapter has end .. a new chapter begins ...

Tuesday, May 12, 2009

Salaam Buat Para Adinda Puteri

Hijrah 1430, tahun Ke-13 hamba dipersada gelanggang ini ...

Para adinda puteri,
Kalian isteri panglima-panglima warisan,
Kalian bonda pewaris ilmu panglima terbilang,
Dibaitkan kisah mu dalam hikayat para cendekiawan,
Tangan yang menghayun buaian mampu merobohkan kerajaan nan gemilang

Para adinda puteri,
Kalian srikandi yang berjuang tanpa perlu dinobatkan
Keringat dan airmata mu yang gugur tiada dipersiakan
Doa dan didikan kasih mu jualah yang memungkinkan
Paluan gendang perang berselang laungan takbir para panglima akhir zaman

Para adinda puteri,
Kalian lah tiang seri, tonggak yang ampuh lagi lestari
Lembut mu memelihara mahligai keluarga harmoni
Tegas mu membentuk disiplin dan jati diri
Maka jangan kamu perlekehkan bisikan nurani

Para adinda puteri,
Bukan dibahu mu, menggalas lembing atau tombak sakti
Bukan ditangan mu, menetak hati yang telah sediakala mati
Namun, doa mu mampu meleburkan benteng-benteng manusia keji
Dan keyakinan mu menjadi perisai pejuang ufuk nusantara ini

Adinda-adinda Puteri,
Berdiri lah kalian disamping mereka yang kau cinta
Kalianlah tunjang khursani yang teristimewa
Walaupun kami yang mengangkat sumpah panglima
Namun doa mu yang memperkukuhkan langkah untuk kami mara

Monday, May 11, 2009

Kunci Mutiara 1

12 May 09
Wlkmslm sis,
Kunci ddlam epis0d khidupn adalh brjihd kjln Nya n tali Nya yakni inna s0latiwanu ... lillahir0bbi'alamin

Sambutku :
Dia Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang Lagi Maha Mengampuni


26 Mac 09

Wlkmslm adnda sis,
helang bkn sembarang ciptaan Allah, gagah megah d atap langit trtinggi menlangkaui dn mndahului kupayaan manusia lagi shingga akhr zmn baru manusia maju dlm penerbangan kini. Tetapi tetap semua hlang trbang tinggi hari2 .. :-)

Sambutku,
SubhanALLAAH .. SubhanALLAAH .. SubhanALLAAH

[27 Mac - Hari lahir ku dengan nama ini ]
[24 Mac - Hari lahir ku ke alam fana ini ]

Kembara Yang Kembali

Allah Hu Rabbi,

Segala Puji-pujian kepada Yang Maha Esa, Pemilik Segala KeMuliaan, Segala Kebesaran dan Segala Ciptaan
Selawat dan Salaam Kepada Kekasih-Nya, Rasulullah saw dan ahli keluarganya .. bersusur galur hingga ke nusantara ini ..

Legasi Mayang Puteri Kejora adalah kesinambungan blog hamba yang terdahulu. Dek kerana faktor usia, hamba ini terlupa kata laluan bagi blog terdahulu, namun ada hikmahnya kelupaan yang tidak disengajakan ...

Blog ini akan menjadi gelanggang ...
Titipan tinta beralas puji-pujian kepada NYA
Kerana siapa lah kita tanpa NYA